07 Januari 2009

Lawatan PM Syria buka lembaran baru

PUTRAJAYA 7 Jan. - Lawatan rasmi pertama Perdana Menteri Syria, Ir. Mohammad Naji Otri ke Malaysia membuka lembaran baru hubungan dua hala apabila kedua-dua negara sepakat mahu meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang antaranya perdagangan, pelaburan dan sistem kewangan Islam.
Malah hubungan dua hala itu berjaya mencetuskan kemesraan mendalam apabila Mohammad Naji melanjutkan kunjungannya sehingga 10 Januari ini untuk melawat Iskandar Malaysia di Johor yang dibangunkan di bawah kepimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
Abdullah berkata, Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) Malaysia-Syria yang pertama di Kuala Lumpur pada 2007 telah memberi galakan kepada kedua-dua negara untuk membina hala tuju hubungan dua hala yang positif.
Justeru, kata beliau, perkara utama yang perlu diberikan perhatian ialah mencari jalan untuk meningkatkan jumlah dagangan dua hala yang masih dianggap agak rendah iaitu AS$$148 juta bagi 10 bulan pertama tahun lalu berbanding AS$$174 juta pada 2007.
''Angka tersebut masih terlalu kecil berbanding jumlah keseluruhan dagangan global yang direkodkan oleh kedua-dua negara.
''Kita perlu menugaskan Jawatankuasa Perdagangan Bersama (JTC) Malaysia-Syria agar mengenal pasti langkah-langkah untuk meningkatkan jumlah dagangan dan mempelbagaikan corak dagangan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pembukaan pada mesyuarat delegasi sempena lawatan rasmi empat hari Mohammed Naji ke Malaysia di sini hari ini.
Terdahulu, kedua-dua pemimpin negara itu mengadakan mesyuarat terhad selama kira-kira setengah jam di pejabat Perdana Menteri.
Sebelum ini, keakraban hubungan dua hala Malaysia dan Syria dipamerkan melalui kunjungan Presiden Syria, Bashar al-Assad semasa menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) di Putrajaya pada 2003 manakala pada 2004, Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengadakan lawatan negara ke republik itu.
Abdullah berkata, Malaysia mengalu-alukan hasrat Syria bagi mendapatkan persepsi yang lebih cepat terhadap peluang-peluang yang luas bagi meningkatkan pelaburan di negara ini melalui lawatan beliau di sini.
''Syarikat pembuat kereta Malaysia, Proton dan Perodua telah memperkenalkan model-model buatannya di pasaran Syria selain beberapa syarikat Malaysia yang lain turut beroperasi di sana tetapi jumlah pelaburan masih tidak begitu signifikan.
Transaksi
''Sama juga jumlah pelaburan Syria di Malaysia agak rendah iaitu setakat yang direkodkan hanya berjumlah AS$$16 juta, sebab itu kami mengalu-alukan minat anda untuk mengetahui lebih banyak tentang negara kami," kata Abdullah.
Di samping minat Malaysia untuk bekerjasama dalam bidang pelancongan dengan Syria, Perdana Menteri berkata, sektor lain yang juga mempunyai potensi luas adalah kerjasama dalam bidang kewangan dan perbankan Islam.
''Kerjasama dalam sektor tersebut akan membantu memudahkan transaksi dagangan dan perniagaan antara kedua-dua negara," kata beliau.
Selain itu, Perdana Menteri juga mempelawa para pelabur dari Syria untuk mengenal pasti peluang yang tersedia dalam koridor pembangunan ekonomi yang dibangunkan Malaysia.
''Sebagai contoh, kita boleh majukan kerjasama dalam bidang pembangunan produk dan perkhidmatan halal. Ini adalah bidang yang istimewa dalam pasaran antarabangsa yang akan menyumbangkan kepada pengembangan aktiviti dagangan di kalangan anggota OIC," katanya.
Sementara itu Abdullah berkata, syarikat-syarikat dari negara ini menunjukkan minat untuk menyertai dan melabur dalam pelbagai projek di Syria antaranya sektor monorel, perumahan dan pembangunan bandar industri.
''Pendidikan pula sudah pasti adalah bidang kerjasama yang mempunyai banyak potensi dan saya ingin menyatakan penghargaan kepada kerajaan Syria kerana menerima para pelajar dari Malaysia iaitu pada masa ini terdapat 550 orang pelajar menyambung pengajian di Damsyik.
''Saya harap kerajaan Syria juga akan menggalakkan lebih ramai pelajarnya menyambung pengajian di Malaysia kerana kami mempunyai kemudahan dan institusi pengajian tinggi terutama pendidikan bahasa Inggeris yang berkualiti dengan kos lebih murah berbanding negara lain," katanya.
Terdahulu, Mohammed Naji yang tiba di Dataran Perdana pada pukul 3.05 petang diberikan sambutan rasmi sempena lawatan empat harinya ke negara ini bermula semalam.
Beliau yang disambut oleh Perdana Menteri diberikan penghormatan memeriksa barisan kawalan kehormat yang terdiri daripada 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dengan diiringi pancaragam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

- UTUSAN MALAYSIA KHAMIS 8 JAN. 2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan