Semalam 11 oktober 2012, aku menziarahi rumah sahabatku yang terletak di Kawasan Sinaah. Setelah berborak panjang dan ralit bersembang sedar-sedar jam menunjukkan jam 11 malam, sebahagian kawanku menasihatkan agar aku bermalam sahaja di rumah mereka, tetapi aku memberi alasan aku perlu segera pulang ke hotel kerana ada hal penting yang perlu aku lakukan.
Aku menunggu teksi di Mauqif Sinaah berhampiran Karajat Sit. Setelah setengah jam menunggu tiada sebiji teksi pun yang lalu di situ.
Bab kisan. salah satu pintu masuk ke kota Damsyi.
Otak ku ligat mencari apa yang perlu aku lakukan kini sedang jam menunjukkan 11.30 malam, akhirnya aku mengambil keputusan menunggu teksi di Bab Kisan pula yang jauhnya sekitar 500 meter dari Mauqif Sinaah. Sambil berjalan dari Mauqif Sinaah itu ke Bab Kisan itu aku melihat ramai manusia berpusu-pusu ke arah yang ingin aku tujui.
Orang ramai menuju ke kawasan muzoharoh.
Muzoharah.
Ketika sampai di Bab kisan aku lihat lautan manusia telah berkumpul, aku cuba menyelit di celahan mereka dan kadang kala aku ternampak kain rentang yang mengandungi kata-kata agar Basyar Al Asad turun dari tahta presiden, dan sebahagian lagi menuntut agar hak rakyat dikembalikan. Faham lah aku bahawa kini aku berada di tengah-tengah lautan manusia yang sedang ber muzharoh menentang kerajaan zalim Basyar Al Asad.
Dari Bab Kisan ke Dawwar Bab Musolla.
Selang beberapa ketika aku menemui teksi yang aku tunggu, dan aku cuba tawar menawar harga yang akan aku bayar nanti. Kataku : “muaalim, saya nak ke sebuah hotel berdekatan Aman Duwali”. Kata pemandu itu : “125 lera” aku pun mempersetujui nya kerana memandangkan waktu malam begini pasti harga akan melambung tinggi. Dalam hatiku tertanya-tanya siapakah pamandu ini? Gayanya bagaikan anggota tentera Basyar namun aku padamkan segalanya kerana aku hanya ingin sampai ke hotel segera. Ketika teksi mula bergerak aku lihat keadaan kelam kabut dan manusia lari bertempiaran. Rupa-rupanya Syabihah telah melepaskan tembakan dan polis sedang menangkap sebahagian peserta muzoharoh.
Setelah dua minit berlalu aku sampai di Bab Musolla berhadapan Aman Duwali yang terletak bertentangan dengan Dawwar Bab Musolla.
Bangunan Aman Duwali di dawwar Bab Musolla.
Kata pemandu teksi : “kita dah sampai”. Aku membalas : “ muallim, bukan disini yang aku maksudkan, tetapi dekat Beramkih”. Tetapi katanya : “ tidak, kita dah sampai”. Aku cuba yakinkannya, bukan tempat ini yang aku maksudkan namun kata-kata ku tidak di pedulinya sambil dia berborak dengan kenalannya dari anggota polis yang berada di situ, dan katanya pada ku : “ jika mahu ke beramkih perlu tambah lagi 125 lera”. Aku cuba berkira-kira dan aku minta padanya agar menggunakan meter sahaja kerana pada perkiraan aku meter lebih mudah membuat kiraan jika aku ingin mengubah haluan destinasi, dan dia setuju. Setelah di tekan butang Start pada meter itu terpampang harga mula 33 lera dan hanya beberapa saat bertukar ke angka 50. Aku meminta dia berhenti di tepi jalan dan aku terus turun dari teksi itu dan kataku pada pemandu itu : “ syukran muallim, saya jalan kaki saja lah”. Kata hati ku : “apa punya teksi, cekik darah ni”.
Mahkbaz As Salam - Dawar Bab Musolla.
Dari kedai roti Mahkbaz As Salam di Dawar Bab Musolla aku langkahkan kaki menuju ke Suq Satelite (jalan Suwaiqah) seorang diri, pada perkiraan aku, dari membuang duit beratus lera hanya untuk ke beramkih yang hanya 1.5 km sahaja, baik aku berjalan sahaja, badan pun sihat, lagi pun aku bukannya tak tahu jalan pintas dari sini ke Beramkih.
Lorong sunyi.
Setiba aku di lorong yang senyap dan sunyi di tengah pasar satelit itu aku membelok ke kiri mengambil jalan di celah-celah rumah arab, hanya lampu jalan yang setia menemani ku, sekali-sekala aku bertemu juga dengan penduduk setempat, ada dia antara mereka berpesan kepada ku agar aku berhati-hati kerana kini Damsyik hangat dengan muzoharoh menentang kerajaan. Dan ada yang berpesan kepada ku lagi agar aku berhati-hati berjalan di malam hari sebegini, dibimbangi kalau terjumpa dengan Mukhabarat pasti mereka akan terus menangkap aku dan disumbat ke penjara tanpa soal siasat. Setelah mendengar pesanan demi pesanan hati ku menjadi bimbang dicampur rasa takut dan gelisah sehingga aku tersilap langkah memasuki pintu bangunan, dan ada ketikanya aku terdengar suara orang Malaysia dari lorong yang aku lalui sedang mereka di dalam rumah meminta aku bermalam di rumah mereka.
Dawwar Bab Musolla ke Beramkih.
Dalam leka aku menyusun langkah menuju ke hotel di Beramkih melalui lorong-lorong di Mujtahid itu sambil mulutku menuturkan ayat-ayat Al Ma’thurat tiba-tiba aku terserempak dengan tiga pemuda yang berpakain askar dan aku kira mereka adalah syabihah dan tentera Basyar, hati ku menjadi gementar namun aku beranikan diri menzahirkan tiada apa yang perlu aku takutkan. Mereka menegur ku dan aku membalas teguran mereka dengan penuh mujamalah walaupun hati amat ketakutan. Aku bersedia dengan kad pengenalan diri di poket atas, jika mereka ingin mengapakan aku dan menangkap aku, akan segera aku beritahu mereka bahawa aku adalah orang Malaysia, bukan orang arab. Tika itu hati ku sungguh gementar. Tiba-tiba aku terjaga dari tidur, ku lihat jam di hp menunjukkan jam 4.21 pagi, Alhamdulillah aku kini berada di Malaysia……
Kg. Landak, Kupang, Baling, Kedah.
12 Oktober 2012.
Jam 8.55 pagi.