29 Mei 2009

Bagaimana Sultan Muhammad al-Fatih bebaskan Kota Istanbul

Sedutan dari harakahdaily.net

Husam Musa
Wed | May 27, 09 | 2:57:19 pm MYT
Hari ini, 546 tahun yang silam, Muhammad bin Murad mengukir satu sejarah dengan menawan kota yang sangat kuat pertahanannya - Konstantinapole. Pada ketika ini Presiden PAS Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, telah pun berada di Kota Istanbul untuk menghadiri sambutan ulangtahun upacara yang amat bersejarah ini.
Tulisan ini cuba melihat bagaimana seorang pemimpin seperti Muhamad Murad yang kemudiannya diberikan gelaran Muhammad Al Fatih, telah berjaya dilahirkan. Adakah di sana satu metod tertentu untuk mencetak pemimpin seperti beliau dan bagaimanakah cara untuk berbuat demikian.
Peribadi dan kepimpinan Muhammad Al Fatih menunjukkan beliau mempunyai ciri berikut;
a. Asuhan dan disiplin Islam yang kuat
b. Mempunyai matlamat hidup yang ingin dijayakan
c. Kehendak yang kuat
d. Sabar dan ketahanan ruhani yang kuat
e. Pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk misinya, atau mendapatkan bantuan pakar dalam bidang masing-masing bagi tujuan melengkapkan skil berkenaan
f. Ibadah dan pergantungan yang kuat dengan Pencipta
Sebelum isu ini dikupas lebih lanjut, kita tinjau dulu bentuk pertahanan Kota Konstantinapole itu sendiri yang sangat menakjubkan;
Kota ini berbentuk tiga segi. Dua bahagian kota menghadap laut iaitu Selat Bosporus dan Laut Marmara. Bahagian daratan dilingkungi oleh sebuah benteng yang sangat kukuh;
a. Bahagian luar kota dilingkungi oleh sebuah parit besar. Dalamnya 10 meter dan lebarnya 60 meter
b. Ada dua tembok iaitu tembok luar dan tembok dalam. Tembok luar sahaja setinggi 25 kaki dan setebal 10 meter
c. Tembok dalam pula setinggi 40 kaki tinggi dan 15 meter tebal
d. Terdapat menara kawalan sepanjang tembok dalam dengan ketinggian 60 meter!
e. Terdapat 400 batalion tentera terlatih mengawal tembok ini sepanjang masa
Dengan kedudukan pertahanan seperti itu, hampir mustahil untuk tembok ini dicerobohi.
Di bahagian laut pula, terdapat rintangan rantai besi yang kuat diletakkan di Selat Bosporus yang digunakan untuk menghalang kapal-kapal melepasinya.
Konstantinapole telah menjadi ibu kota Empayar Bizantin untuk berkurun-kurun dan dikenali sebagai kota yang paling makmur dan terkaya di Eropah. Ia terletak di pertemuan antara Asia dan Eropah dan Laut Mediterranean dan Laut Hitam. Justeru, ia sangat strategik baik dari segi perdagangan mahupun geo politik.
Sejak Rasulullah s.a.w mengungkapkan bahawa nanti Kota penting ini akhirnya akan jatuh di tangan seorang pemerintah yang terbaik, memimpin tentera yang terbaik sepanjang zaman, telah banyak percubaan dibuat untuk menawan kota ini, namun tidak berjaya. Sahabat seperti Abu Ayub al Ansari juga telah berusaha dan mereka telah mengepung kota ini selama tujuh tahun, tetapi masih gagal.
Hanya 800 tahun selepas sabda Nabi yang Mulia itu, sabda yang menakjubkan ini menjadi kenyataan. Sultan Muhammad bin Murad yang kemudian lebih masyhur dengan gelaran Sultan Muhammad al Fatih telah memulakan pengepungan ke atas Konstantinapole pada hari Khamis, 5 April 1453 dan berjaya membuka kota ini pada 29 Mei 1453, hari tulisan ini dipostkan.
Sungguhpun pengepungan ini berlangsung selama hampir dua bulan sahaja, program penaklukan ini telah berjalan lama!
Ia bermula apabila bapa Sultan Muhammad Al Fatih, Sultan Murad memilih guru-guru yang terpilih untuk mendidik anak raja ini, yang waktu itu, se orang anak yang nakal.
Sejak berumur sembilan tahun, Sultan Muhammad telah mengalami pendidikan disiplin yang ketat. Rasa bebas dan nakal sebagai anak raja yang masih kecil mula berakhir apabila bapa baginda memberikan kebebasan kepada guru-guru beliau untuk membentuk dan mendidik Muhammad.
Rotan turut digunakan oleh gurunya untuk mendisiplinkan anak ini. Dalam satu kejadian, Muhammad telah sengaja dirotan dengan teruknya tanpa sebarang kesalahan yang dilakukan oleh beliau.
Tujuan guru beliau berbuat demikian ialah untuk membentuk perasaan belas kasihan dan sikap adil dan saksama dalam jiwa bakal Sultan ini. Supaya nanti baginda dapat mengambil keputusan berpaksikan keadilan dan memahami perasaan orang-orang yang tidak diperlakukan dengan adil!
Sultan Muhammad dibimbing untuk menghafal al-Qur'an. Dilatih untuk sembahyang malam. Dibentuk menjadi wara' dan zuhud. Diasuh mencintai ilmu dan ulama'. Mempunyai budi pekerti yang baik dan perasaan yang halus. Keunggulan pendidikan keruhanian Sultan Muhammad ternyata apabila baginda akan dilantik menggantikan bapanya secara rasmi sebagai pemerintah Kesultanan Uthmaniah, beliau menangis teresak-esak.
Gurunya lah yang telah mengarahkan beliau menerima tanggungjawab itu atas hujah bahawa seorang berkaliber seperti beliau wajib memikul amanah ummah dan itu jihad dan ibadah yang lebih besar.
Pendidikan Sultan Muhammad di istana baginda hampir komprehensif. Sebagai bakal raja dalam persekitaran Eropah dan pusat perdagangan dan diplomatik, baginda dapat berbahasa lebih dari lima bahasa.
Sudah tentu baginda fasih dalam bahasa Arab.
Baginda juga diajar matapelajaran sejarah, geografi dan astronomi. Pakar ketenteraan juga diundang untuk memberikan pendedahan ketenteraan kepada beliau.
Lama sebelum program pembebasan Konstantinapole dimulakan, Muhammad al-Fateh telah berbincang dengan pakar sejarah dan ketenteraan mengenai sebab-sebab kegagalan ekpedisi penawanan Konstantinapole sebelum ini.
Apa rahsia kekuatan pertahanan kota itu dianalisis. Bagaimanakah caranya untuk mengatasi halangan-halangan itu juga dibincangkan.
Dari perbincangan itu, antara lain mereka mengenal pasti hal berikut;
a. Dinding tembok itu terlalu tebal dan pada waktu itu belum ada teknologi yang boleh meruntuhkannya. Sultan Muhammad telah mengarahkan dicari satu teknologi yang boleh meruntuhkan tembok itu.
Tentera baginda akhirnya berjaya mencipta meriam yang paling canggih dengan bantuan seorang pakar senjata bangsa Hungary yang telah diculik dari kurungan dalam penjara Konstantinapole dengan mengorek lubang bawah tanah yang dalam dan panjang!.
Berat setiap meriam ciptaan baru ini ialah 700 pauns! Ia perlu ditarik oleh 100 ekor kuda dan seratus orang tentera. Bila diletupkan, bunyinya boleh didengar sejauh 13 batu! Setiap tembakannya akan menyebabkan tembok yang kuat berlubang seluas enam kaki. Nah! Benteng besar itu sekarang telah menemui ruasnya.
b. Rantai besi yang kuat yang dirintangi menghalang laluan kapal. Ia menghalang bantuan dan pergerakan melalui laut.
Sultan Muhammad telah mencipta satu plan luar biasa mengatasi halangan ini. Ia adalah antara rekod sejarah yang menakjubkan dari segi kreativiti dan kekuatan keinginan seorang pemimpin. Baginda mengarahkan pembinaan kapal di daratan. Dibuat pada sebelah malam supaya tidak disedari oleh musuh.
Mesti disiapkan dalam masa yang singkat. Kapal ini diluncurkan dari daratan sejauh 5km ke lautan dengan meletakkannya tergelunsur di atas batang-batang kayu yang telah diatur dan telah diminyakkan untuk melicinkan perjalanan kapal-kapal itu.
Pada masa yang telah ditetapkan, kapal-kapal ini dilancarkan dari daratan dan muncul di depan Kota Konstantinapole sebelah lautan dengan melepasi rantai besi yang telah terpasang! Ia memeranjatkan tentera musuh. 400 kapal musuh terbakar dan serangan dari lautan berjalan serentak dengan pengepungan sebelah daratan.
c. Lazimnya bila tentera sampai di pantai menghadap Kota ini, mereka terdedah kepada serangan musuh kerana kawasan yang terbuka dan jika sekiranya satu benteng pertahanan mengelakkan serangan hendak dibina, ia memakan masa selama setahun.
Sultan Muhammad telah mengarahkan benteng pertahanan menghadap tembok kota Konstantinapole itu dibina dalam masa tiga bulan dengan menggunakan segala teknik pembinaan semasa yang canggih.
Benteng Rumeli Hissari dibina di tebing sebelah Eropah, lebih kurang 5 batu dari Kota Konstantinople di mana Selat Bosphorus adalah yang paling sempit. Ia dibina bertentangan dengan Benteng Anadolu Hisar di tebing sebelah Asia yang telah dibina oleh Sultan Bayazid Yildirim dahulu.
Ia memang berjaya disiapkan seperti direncanakan.
Dari mana kekuatan keinginan seorang pemimpin ini diperolehi oleh Sultan Muhammad?
Gurunya bukan sekadar menyuntikkan kekuatan ruhani kepada bakal Sultan in, tetapi juga telah menyuntik sikap terbuka terhadap teknik dan teknologi baru yang diperlukan untuk misi mereka. Mereka juga menyuntik sikap berminda strategik dan kreatif.
Sultan Muhammad dapat menganalisis dengan tepat permasaalahan dan mencari jalan penyelesaian terhadap setiap permasalahan itu secara praktikal sebelum melancarkan misinya.
Tetapi yang paling penting, sejak kecil lagi guru-guru baginda telah membentuk minda baginda untuk merasakan dirinya lah yang disebutkan oleh Rasulullah s.a.w sebagai raja terbaik yang memimpin tentera terbaik yang akan dapat membebaskan Konstantinbapole.
Sasaran, visi dan misi yang jelas, yang disuntikkan ke dalam minda baginda ternyata berkesan. Dari kecil, Sultan Muhammad mengimpikan bagindalah pembebas itu!
Baginda bergerak selari dengan impian ini. Akhirnya, ia adalah sebuah kenyataan.
Dari sudut kepimpinan, bapa baginda seorang yang berpandangan jauh. Sejak umur 14 tahun, Muhammad telah diminta menguruskan empayar dengan alasan, bapanya ingin menumpukan kepada ibadah.
Namun, dalam dua keadaan kritikal, bapa baginda pulang semula untuk memimpin Kerajaan Uthmaniah. Selepas ancaman kritikal itu diatasi, Muhammad diberikan peluang untuk menguruskan semula empayar yang sedang berkembang itu.
Melalui pendedahan berbentuk bimbingan ini, Muhammad terlatih menjadi pemimpin yang berkualiti.
Ditambah, sepanjang hayat baginda, guru-guru baginda yang menjadi rujukan keruhanian dan kebijaksanaan, sentiasa bersama baginda. Hatta, ketika pengepungan kota itu berlangsung, gurunya mengimamkan solat hajat semua tentera Sultan Muhammad.
Melihat 150,000 tentera Islam berbaris rapi untuk bersolat di luar kota itu, cukup untuk menakutkan musuh yang sedang berkawal dalam kota!
Pada hari pembukaan Kota Kontantinapole yang bersejarah itu, Sultan Muhammad bersujud syukur.
Sepanjang kempen, baginda tidak putus-putus mengarahkan tenteranya bertakbir dan melaungkan slogan-slogan bersemangat, termasuk motivasi berasaskan hadis Nabi bahawa Konstantinapole akan dibebaskan oleh tentera yang terbaik dan merekalah tentera terbaik yang dijanjikan oleh Nabi itu.
Pada kali pertama solat Jumaat hendak didirikan di dalam Kota Konstantinapole yang baru sahaja dibebaskan, timbul pertanyaan siapa yang layak menjadi imam solat Jumaat yang pertama itu.
Baginda memerintahkan kesemua tenteranya termasuk dirinya berdiri dan diikuti pertanyaan: "Siapa di antara kita sejak baligh hingga sekarang pernah meninggalkan solat fardhu walau sekali sila duduk!".
Tiada seorang pun yang duduk, kerana tidak seorang pun di antara mereka pernah meninggalkan solat fardhu.
Pertanyaan seterusnya, "Siapa di antara kita yang sejak baligh hingga kini pernah meninggalkan solat sunat rawatib sila duduk!".
Sebahagian daripada tenteranya duduk. Kemudian Baginda bertitah, "Siapa di antara kamu sejak baligh hingga ke saat ini pernah meninggalkan solat tahajjud walaupun satu malam, sila duduk!".
Kali ini semuanya duduk, kecuali baginda sendiri sahaja yang tetap berdiri! Subhaanallah!
Baginda tidak pernah meninggalkan solat fardhu, Solat Sunat Rawatib dan Solat Tahajud sejak baligh. Tepatlah janji Rasulullah s.a.w dan kota ini kemudian bertukar nama kepada Istanbul.
Sekarang, marilah kita mengenali secara ringkas guru-guru yang berjasa besar membentuk Sultan Muhammad.
Pertama, Ahmad 'ibn Ismail Al-Kori:
Guru istimewa ini menunjukkan role model kepada Sultan Muhammad. Seorang yang wara', tidak menyembah Sultan sama seperti orang lain memberikan tunduk hormat, memanggil nama Sultan dan kerabat mereka dengan nama mereka masing-masing tanpa sebarang panggilan gelaran, Bersalaman dengan mereka tanpa mencium tangan mereka. Sepanjang Ramadhan, Sultan Muhammad menghadhiri kelas mentafsir ayat-ayat Al Qur'an yang diadakan di istana baginda selepas solat zuhur, dengan guru-guru yang bersilih ganti.
Ahmad ibn Ismail lah yang mengajarkan Al Qur'an, hukum-hukum agama dan kepatuhan padanya. Ia juga membentuk rasa takwa dalam jiwa Sultan Muhammad dengan berbagai cara, termasuk nasihat-nasihat yang berkaitan dengan tugas pemerintah.
Kedua ialah Sheikh Muhammad bin Hamzah al-Rrouhy, lebih dikenali sebagai Ba'q Shamsuddin. Beliau meninggalkan kesan yang sangat mendalam terhadap keperibadian Sultan Muhammad.
Beliau telah menginspirasikan Sultan MUhammad meningkatn aktiviti dakwah dan keislaman di bawah Empayar Othmaniah sebagai satu cara memperkuatkan empayar tersebut.
Beliaulah yang paling giat meyakinkan Sultan Muhammad bahawa beliau adalah raja terpilih seperti yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w dalam sabdanya itu.
Selain mengajarkan teras-teras ilmu Islam, Shamsuddin juga bertanggungjawab mengajar sains, matematik, sejarah, strategi perang, astronomi dan lain-lain.
Beliaulah yang telah merotan Muhammad di masa kecil tanpa sebab. Beliaulah yang mententeramkan Sultan Muhammad yang menangis kerana enggan menjadi raja. Beliaulah yang telah ditanya oleh Sultan Muhammad samada beliau boleh bersara selepas lama memerintah kerana ingin menumpukan kepada ibadah tetapi dijawab, ibadah sebagai Sultan yang adil adalah lebih berharga lagi.
Shamsuddin meletakkan insipirasi dalam dada Sultan, memberikan baginda tujuan dan misi pemerentahan yang jelas dan bersama baginda sehingga cita-cita itu tercapai.
Kerana itu lah, beliau dikenali sebagai Penakluk Ruhani Konstantinapole. Guru yang merancang lahirnya seorang pemimpin dan terukirnya sebuah sejarah. Insan pada sisi lain Sultan Muhammad al-Fatih. - mr_



Masjid Sultan Muhammad Al Fateh, Istanbul, Turkey.


Hadis nabi yang memberitkan tentang keperwiraan Sultan Muhammad Al Fateh dan tenteranya yang tertera di bahagian kepala makam baginda.


Makam Sultan Muhammad Al Fateh, Istanbul, Turkey.

28 Mei 2009

NATIJAH MAKSIAT



segeralah bertaubat wahai saudara-saudara ku sekelian....

06 Mei 2009

Dugaan

Memang tak aku sangka semalam bukan lah seperti hari-hari yang lepas. Kebanyakkan rombongan yang aku sambut tak pernah pun terjadi hal sedimikian. Jarang sekali rombongan yang datang untuk melancong tersangkut di lapangan terbang antarabangsa Damascus. Dan alasan yang aku terima juga susah untuk akal ku terima. Adakah patut pihak emigration katakan pasport rombongan yang datang ini adalah passport palsu, dan secara jelas aku dengar pengakuan dari Mak Su selaku ketua rombongan dia memang dengar secara jelas pegawai emigration tu katakan “palsu” dengan bahasa Malaysia.
Kekalutan bermula setelah Chaq dan Shida keluar dari pintu balai ketibaan namun kelibat ahli rombongan yang lain tidak kelihatan.
Aku, Ali, Nizam dan serta beberapa akhawat lain bertanya : “mana lagi yang baki?”
Jawab Chaq mereka semua sangkut di dalam, pihak emigration tahan sebab disyaki menggunakan passport palsu. Detik hati ku mungkin ini perkara biasa dan akan selesai sesingkat mungkin. Lalu aku ambil keputusan tunggu dan lihat.
Aku sengaja melengahkan masa untuk mohon bantuan dari kedutann kerana pada perkiraan aku ini semua hanya masaalah teknikal semata, dan pada perkiraan aku masaalah passport palsu ini pasti akan selesai dalam masa yang sekejap.
Aku juga percaya bahawa telahan pihak emigration itu tak betul kerana aku kenal siapa Pak Su, siapa Maksu, siapa Atif dan siapa Syidah. Tak mungkin mereka gunakan passport palsu. Namun aku tidak menolak seratus peratus ada kemungkinan mereka gunakan passport palsu, kemungkinan sebahagian ahli rombongan gunakan agent lalu agent tipu mereka, tetapi kemungkinan itu terlalu sedikit.
Bermula dari jam 6 petang aku tetap menaruh harapan rombongan ini akan keluar dari lapangan terbang ini seperti rombongan pelancong lain. Namun setelah 4 jam berlalu aku rasakan pasti ada sesuatu yang tak kena dengan rombongan ini, setelah minta maklumat detail dari Chaq, aku terus telefon En. Fahmi pegawai kedutaan Malaysia di Syria memaklumkan masaalah yang dihadapi oleh rombongan, En. Fahmi juga sukar menerima alasan passport palsu yang diberikan oleh pihak emigration hanya atas alas an tiada cop keluar dari Malaysia. Kemudian dia memberi maklum balas bahawa perkara ini akan dirujuk kepada En. Husain, aku merasa sedikit tenteram dengan jawapan yang di berikan.
Selang beberapa minit aku dimaklumkan bahawa En. Husin telah menghubungi pihak emigration di mator menyatakan masaalah yang dihadapi oleh rombongan dan rombongan akan keluar seberapa segera dan rombongan akan melalui ujian passport bagi menentukan keaslian passport Malaysia.
Jam di tangan ku menunjukkan jam 12.30 malam bermakna dua jam telah berlalu, kelibat Paksu dan rombongan tidak juga kelihatan, sekali lagi aku terpaksa mengganggu En. Fahmi dengan panggilan ku.
En. Fahmi terus berusaha menyelesaikan masaalah ini, katanya dia telah hubungi En. Husain beberapa kali namun panggilan tidak di jawab dan aku membuat telahan kemungkinan En. Husain tidor memandangkan jam sekarang pukul satu pagi.
Demi menyelesaikan masaalah ini En. Fahmi memberi tahu aku bahawa masaalah ini akan diselesaikan oleh seorang kakitangan tempatan kedutaan Malaysia - Samir Subky.
Di akhir perbualan, aku berterima kasih atas kesungguhan En. Fahmi dalam menyelesaikan masaalah ini, dan paggilan aku dimatikan.
Selang beberapa minit handphone aku berdering lagi, Samir Subky menyatakan masaalah ini akan selesai sekitar setengah jam, namun hatiku payah menerima pernyataan ini, dengan suara yang nyaring aku katakan apakah benar setengah jam akan selesai semua masaalah ini, sengaja aku kuatkan suara kerana aku susah menerima pernyataan sebegini dari seorang arab, cukup sebentar tadi aku bagaikan dipermainkan oleh seorang anggota polis mator bila diberitakan setengah jam akan selesai bila mana aku bertanyakan perkembangan terikini tentang rombongan.
Kelihatan dikelilingku arab memandang-mandang aku, mungkin juga merasa hairan dengan seorang ajanib yang bercakap arab atau memandang kerana terasa hati bila ayat yang aku lafazkan seakan mengutuk mereka. Namun aku tak peduli semua itu,harapan ku agar mereka tahu betapa susahnya berurusan dengan mereka, bila disebut “khamsa daqaiq” pasti setengah jam pon tak akan ada apa-apa, cukup memanaskan hati aku. Aku yakin arab yang memandang aku tadi jika mereka rasa apa yang aku rasa, tindakan sama pasti akan diambil.
Jam 1.30 malam kelibat Maksu dan rombongan muncul di pintu keluar balai ketibaan. Alhamdulillah…. tiada ayat yang bisa aku lafazkan selain puji syukur ke hadrat ilahi yang maha penentu atas segala.
Kulihat wajah rombongan sedikit ceria walau pun ku tahu dihati mereka penuh dengan hiba atas apa yang berlaku. Aku pasti dan yakin di sebalik peristiwa ini pasti ada sesuatu yang tersembunyi dari pengetahuanku sebagai manusia yang mempunyai akal yang terbatas.
Allah tuhan semesta alam, Dia lah yang mengatur perjalanan alam dan menggerakkannya. Dia maha mengetahui atas segala sesuatu, Dia lah yang mencipta manusia dan mengetahui apa yang terbaik untuk ciptaan-Nya.
“Janganlah kelambatan masa pemberian Tuhan kepada-mu, padahal engkau bersungguh-sungguh dalam berdoa menyebabkan patah harapan, sebabb Allah telah menjamin menerima semua doa dalam apa yang Ia kehendaki untuk-mu, bukan menurut kehendak-mu dan pada waktu yang ditentukannya, bukan pada waktu yang engkau tentukan”. - Ibnu Atoillah Assakandary.

sent from My I-Mate via yahoo mail.