16 Januari 2009

KISAH NABI ADAM DAN HAWA - SIRI 1

MEMULAKAN CIPTAAN
Allah menjadikan langit dan bumi dan diantara kedua nya selama enam hari kemudian Allah bersemayam di atas A’rasynya dengan dikelilingi para Malaikat yang sentiasa bertasbih memuji Nya kemudian Allah jadikan siang dan malam. Malam Allah khususkan untuk manusia kembali ke rumah mereka dan berehat seketika dari penat berkerja di siang hari dan Allah jadikan siang bercahaya dan bersinar untuk manusia mudah menunaikan urusan kerja masing-masing.
Ketika terbit fajar dan bersinar mentari pagi, berfirman Allah kepada para Malaikat : “Akan aku ciptakan seorang khalifah di atas muka bumi”. Lalu jawab para Malaikat : “adakah Kamu akan ciptakan khalifah di bumi itu dari golongan yang akan merosakkannya dan akan menumpahkan darah? Sedangkan kami sentiasa bertasbih memuji Mu dan mensucikan Mu”. Berkata Allah : “sesungguhnya aku lebih mengetahui apa yang tidak kamu ketahui”.

PENCIPTAAN ADAM A.S
Ketika Allah ingin memulakan penciptaan Adam a.s Allah berfirman kepada bumi : “akan Ku ciptakan sesuatu dari kamu, dikalangan ia ada yang mentaati Ku dan ada yang mengingkari Ku, sesiapa yang mentaati Ku akan dimasukkan ke dalam syruga dan sesiap yang mengingkari Ku akan dimasukkan ke dalam neraka”. Kemudian Allah mengutuskan Jibril ke bumi untuk mengambil segenggam tanah. Ketika Jibril sampai ke bumi lalu berkata bumi : “aku berlindung dengan keagungan Allah yang mengutuskan mu untuk mengambil dariku sesuatu pun kemudian akhirnya ia menjadi santapan api neraka”. Pulang Jibril kepada tuhannya tanpa membawa apa-apa dan berkata : “tuhan ku, bumi telah minta berlindung dengan Engkau lalu aku enggan untuk mengambil sesuatu darinya”. Lalu Alah perintahkan Mikail a.s turun ke bumi namun bumi tetap mohon perlindungan dengan Allah dari diambil sesuatu darinya, lalu pulang Mikail a.s dengan tangan kosong.
Untuk kesekian kalinya Allah mengutuskan pula malaikat maut, lalu dia mendatangi bumi namum bumi tetap memohon perlindungan dengan Allah agar tidak diambil darinya sesusatu pun. Maka berkata malaikat maut : “aku berlindung dengan Allah dari melakukan ingkar terhadap perintah Nya”. Lalu dia mengambil tanah dari setiap sudutnya yang empat, dari atasnya yang tertinggi, dan dari bawahnya yang berwarna merah, hitam dan putih, dan dari yang eloknya dan dari yang jeleknya.
Begitulah keturunan nabi Adam a.s, ada yang elok ada yang burok, ada yang baik ada yang jahat, ada yang cantik ada yang hudoh. Dan kerana itu jua lah berbeza rupa paras dan warna kulit mereka.
Berfirman Allah : “dan dari tanda-tanda kekuasaanya dia menciptakan langit dan bumi dan berbeza-beza bahasa dan warna kulitmu”.
Kemudian naik malaikat maut dengan segenggam tanah menemui tuhannya. Lalu Allah perintahkan supaya di jadikan lumpur dan diciptakan darinya Adam a.s.

PENGUSIRAN IBLIS DARI SYURGA
Allah memerintahkan para malaikat sujud kepada nabi Adam lalu kesemua sujud kecuali Iblis dia enggan dan sombong, lalu jadilah ia dari kalangan orang kafir. Berkata Allah terhadapnya : “apakah yang menghalangmu dari sujud ketika Aku perintahkan mu?”. Berkata Iblis : “aku lebih baik darinya, Kamu jadikan aku dari api dan Kamu jadikannya dari tanah”. Murka Allah terhadap jawapan Iblis dan kerana ingkarnya lalu Allah berfirman : “turunlah engkau dari syurga kerana tidak layak engkau sombong di dalamnya, keluar lah sesungguhnya engkau dari kalangan orang yang hina”, menyesal Iblis atas kesilapan dan keegoannya. Ketika Iblis ingin memulakan penipuannya dia berkata dengan nada yang rendah dan tunduk ke bawah : “tuhan ku, biarkan lah aku (kekal) hingga hari kiamat”. Firman Allah kepadanya : “engkau adalah dari golongan yang akan dibiarkan (hingga hari kiamat)”. Lalu bertepuk tangan si Iblis di dalam hatinya dan berkata : “kerana Engkau telah menghukum ku sebagai sesat maka akan ku halang mereka (manusia) dari jalan Engkau yang lurus, kemudian akan aku datangi mereka dari arah depan dan belakang, dan dari arah kanan dan kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati mereka bersyukur (taat)”. Bertambah murka Allah terhadap Iblis dan terhadap golongan yang akan mengikutinya lalu Allah menghalaunya dari langit seraya berkata : “keluarlah kau dari syurga secara hina dan terusir, sesiapa yang mengikuti mu dari kalangan manusia, akan Ku penuhkan mereka kedalam jahannam kesemuanya”.
Keluarlah Iblis dari syurga secara malu, hina, tercela, dimurkai dan dilaknat. Kemudian berfirman Allah kepada Adam : “pergilah engkau bertemu para malaikat dan ucapkanlah kepada mereka : ‘assalamualaikum”. Lalu Adam mengucapkan salam kepada mereka dan mereka menjawabnya dengan satu suara : “waalaikas salam warahmatullahi wabarakatuh”. Dan kembali Adam kepada penciptanya Azza Wahalla, lalu berkata Allah : “ini lah ucapan salam mu dan ucapan salam zuriat mu dikalangan mereka”.

SANJUNGAN MALAIKAT
Allah ingin membuktikan kepada para malaikat betapa mereka tersalah anggap ketika mereka mengatakan “Allah tidak akan menciptakan satu makhluk yang lebih mengetahui segala-galanya dari kami”. Lalu Allah datangkan haiwan-haiwan yang merangkak dan burung yang berterbangan serta ikan-ikan laut yang berasal dari bumi kemudian Allah persembahkan kesemuanya kepada para malaikat seraya berkata : “berita kan kepada Ku segala nama mereka ini jika kalian dari golongan yang benar”. Terkaku para malaikat ketika itu dan mengakui kesalahan mereka seraya berkata : “maha suci Engkau, tiada kami ketahui kecuali apa yang telah Engkau beritakan kepada kami, sesungguhnya Engkau maha mengetahui dan maha bijaksana.” Dan berfirman Allah : “wahai Adam, beritakan kepada mereka nama-nama makhluk ini”. Maka Adam menyebut satu persatu nama bagi setiap yang melata dan merangkak mengikut apa yang telah diwahyukan Allah kepadanya, lalu berkata Allah kepada para malaikat : “tidakkah aku katakan pada kalian sesungguhnya aku lebih mengetahui rahsia langit dan bumi dan aku lebih mengetahui terhadap apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu sembunyikan”.

PENCIPTAAN IBU MANUSIA – HAWA
Allah menempatkan Adam di dalam syurga lalu Adam seorang diri berjalan di celah pepohon menikmati keindahan dan kicauan burung-burung di dalamnya namun bosan tetap menghingapinya dan gembira tetap berpenghujung walau pun taman-taman syurga begitu luas dan indah dengan sungai-sungai yang mengalir dengan susunan katil-katil yang tinggi, gelas-gelas yang teratur indah dan bantal-bantar sandar yang tersusun rapi tetap menjemukannya lalu kewalangan menyelubunginya dan duka cita tetap menghantuinya, dia mendambakan dari yang esa kehidupan yang lebih tenang, indah dan bahagia. Saat ketika berat kepala mengatasinya lalu Adam tertidur begitu nyenyak sekali. Tuhan yang maha esa mengetahui segala-segalanya dan mengatur apa terbaik untuk hambanya, akan dijadikan untuk Adam pasangan yang akan mendampingnya dan menjadi penenang jiwanya ditika suka dan duka, yang akan menjadi penghibur hatinya di saat resah dan gelisah, yang akan mengjadi teman untuk berkongsi segala rahsia, lalu Allah mengambil sebatang tulang rusuk yang bengkok dari tulang rusuk Adam dan dibaluti tulang itu dengan daging, dan dijadikan dari tulang rusuk itu seorang wanita yang tersimpuh berteleku di kepala Adam sambil melihat ke arahnya.
Terlihat Adam tatkala terjaga dari tidurnya suatu makhluk yang belum pernah dilihatnya sebelum ini lalu direnungnya dan diamatinya dengan penuh takjub, timbul rasa suka di hati dan perasaannya diselubungi kegembiraan dan Adam bertanya makhluk itu : “siapakah kamu?” makhluk itu menjawab : “wanita.” Adam bertanya lagi : “untuk apa kamu diciptakan?” berkata wanita itu : “untuk menjadi penenang hati mu dan menjadi teman dalam hidup mu.”

CINTA PERTAMA
Berputik cinta agung diantara Adam dan Hawa dengan ikatan yang kukuh dan jalinan yang utuh menjadi ikutan yang tertinggi dan nyanyian yang mengasyikkan. dan kini Adam tidak kesunyian lagi, hilang segala duka laranya selepas dikurniakan Allah pasangan yang dijadikan dari tulang dan dagingnya sendiri.
Berjalan Adam dan Hawa berduaan ke serata ceruk di dalam syurga sambil berpimpin tangan dan bernyanyi-nyanyi kegembiraan dalam keadaan berbogil tanpa memperdulikannya, mereka berdua tidak mengetahui kebaikan dan keburukan, dan juga dosa pahala dan Adam meletakkan Hawa dikedudukan yang tinggi disisnya sangat menyanjunginya, Adam mengikuti segala kehendak Hawa, makan bersama Hawa, membenci apa yang tidak diingini Hawa sehinggakan sanggup berdiri bersama Hawa sepanjang masa walaupun letih membebaninya, itu semua dilakukan secara rela bukan terpaksa dan lahir dari hati nuraninya. Itulah lambang kasih sejati dan cinta agung merentasi sejarah.

Setelah sekian lama berduaan, Allah datangkan ujian terhadap kedua ciptaan Nya itu sebagai pengukur tahap ketaatan mereka terhadap sang penciptanya, lalu Allah berfirman kepada Adam dan Hawa : “wahai Adam, diami lah kamu dan pasangan mu di dalam syurga ini dan makan lah apa sahaja yang kamu suka dan kamu berdua jangan sesekali mendekati pohon ini yang akan menyebabkan kamu berdua termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim.”
Hawa melihat pohon yang diharamkan Allah itu dan dia merasa terpesona dengan bentuk dan warnanya kemudian dia berpaling dari pohon itu. Kemudian mereka memakan buah-buahan dari pohon-pohon yang lain sambil menjalani kehidupan yang penuh bahagia dan gembira, ada kalanya Hawa bersendirian pergi menikmati keindahan pohon haram itu kemudian dia pulang.

IBLIS DILUAR SYURGA
Sedih dan duka cita masih menyelubungi hati Iblis yang terusir dari syurga kerana inkar pada perintah Allah dan dia terputus dari menikmati segala kenikmatan syurga dan kebaikannya, dulu dia adalah penghulu kepada sekelian malaikat dan ketua mereka yang sangat taat terhadap tuhannya, dia menikmati segala apa yang dihajati dan segala-galanya terletak dibawah kehendaknya. Tapi kini dia seorang yang terusir lagi hina dan terlaknat, dia diharamkan dari segala kebaikan dan kenikamatan syurga, dari segala mekanan dan buah-buahannya. Berbeza keadaannya dengan bapa segala manusia yang dihinanya tempoh hari, kini Adam telah mengganti tempatnya bahkan Allah kurniakan nikmat yang lebih kepada Adam dengan pasangan yang cantik menjadikan hidup Adam lebih bahagia dan gembira.
Iblis merasa cemburu dan berazam untuk mengganggu dan meragui hati Adam dan Hawa demi mengeluarkan keduanya dari syurga dengan perangkap ingkar terhadap larangan Allah kepada kedua pasangan bahagia itu. Iblis berjalan-jalan di luar syurga dan di sekelilingnya dan tidak berani mendekati syurga lalu berfirman Allah kepada Adam : “sesungguhnya ini adalah musuh mu dan musuh isterimu maka jangan sesekali dia mengeluarkan kamu berdua dari syurga yang menyebabkan kamu menjadi celaka, sesungguhnya kamu tidak akan merasa lapar di dalamnya dan tidak akan bertelanjang, dan sesungguhnya kamu tidak akan merasa dahaga di dalamnya dan tak akan ditimpa panas mentari.”

IBLIS MEMASUKI SYURGA
Iblis berusaha berkali-kali untuk masuk ke dalam syurga bagi merealisasikan impiannya tetapi pengawal syurga tetap menghalangnya pada setiap percubaan, lalu Iblis memohon pertolongan burung untuk membawanya dengan meletaknya di antara dua sayap dan masuk ke dalam syurga secara sulit seterusnya dia akan menggoda Adam dan Hawa, tetapi tiada seekor burung pun yang menyutujui Iblis dan semua menolaknya lalu Iblis menemui binatang tunggangan memohon agar membawanya sama ada dia bergantung di bawah perut atau duduk di atas, namun tiada seekor pun yang mahu membantunya, lalu Iblis bertemu pula dengan ular yang mempunyai rambut yang panjang dan ular adalah diantara binatang yang tercantik ketika itu dan berjalan dengan empat kaki, Iblis berkata kepada ular : “aku akan selamatkan kamu dari sekelian anak cucu Adam kerana mereka akan memperhambakan segala makhluk dan binatang dan memaksa semuanya supaya ikut perintah mereka, mereka akan berlaku kejam dan zalim serta menyiksa semua makhluk, dan kamu adalah binatang yang cantik dan aku bimbang tentang diri mu daripada Adam dan keturunannya dan aku berjanji akan memelihara mu kerana aku hidup bersama Adam dan keturunannya tetapi dengan syarat hendak lah kamu membawa aku masuk ke dalam syurga.” Lalu tergoda ular itu dengan dakwaan Iblis dan menerima syarat itu. Diletakkan Iblis diantara dua taringnya kemudian mereka masuk ke dalam syurga tanpa disedari oleh pengawal dan penjaga syurga.

Bersambung……


Mula jam 5.30 petang selesai jam 11.35 malam.
Khamis 15.2.2009
Jami Bouti, Damascus, Syria.

4 ulasan:

  1. Mungkin perlu pengkajian lanjut berhubung maklumat Adam dan Hawa yang berbogel di syurga.. Pada hemat saya, Allah muliakan Adam dan Hawa dengan makanan dan pakaian syurga.. dan Allah menanggalkan pakaian syurga apabila kedua-duanya memakan buah khuldi.. Mohon merujuk Tafsir Ibnu Katsir dalam bab ini.. Wallahu'alam

    BalasPadam
  2. saya dutarik minat oleh cerita ini............

    BalasPadam
  3. saya tertarik cerita ini walaupun saya seorang bukan orang muslim .tapi saya percaya bahawa Allah telah diberitahu oleh hambanya......

    BalasPadam