Terasa hati ini sangat syahdu dan teramat sedih bila mana memikir tarikh 28 September Isnin yang bakal muncul tidak lama lagi. Pada hari tersebut akan aku tinggalkan segala kenangan pahit manis sepanjang berada di bumi barakah, bumi anbiya, bumi syam.
Teramat syahdu bercampur sayu bila mana segala kehidupan aku perlu di ubah bagi menyesuaikan diri dengan tempat yang aku kira menjadi baru semula iaitu bumi Malaysia yang ki tinggalkan semenjak 29 September 2000 lepas.
Selepas 28 September nanti tiada lagi kedengan laungan Ammu penjual gas, tiada lagi pekikan Muallim pengangkut barang terpakai dari rumah-rumah, tiada lagi lolongan Ammu Abu Salim menjaja jagung rebus di senjang lorong-lorong sempit di kawasan perumahan Ruknuddin, tiada lagi laungan azan Abu Abduh dari Jami’ Bouty yang diselangi dengan batuk tuanya melepaskan kahak di kerengkong dan dendangan selawat memuji nabi sebelum azan subuh.
Tiada lagi sapaan salam dan doa kesejahteraan para penghuni lorong-lorong rumah arab membalas salam ku sambil mendoakan Allah yazidkal khair (moga Allah tambah kebaikan untuk mu) selepas pertemuan. Tiada lagi makian arab Allah Yahdik (moga Allah memberi petunjuk pada mu) pada orang yang menyakiti hati mereka.
Semua nya akan menjadi kenangan abadi yang tak bisa dilupakan walau di telan zaman.
Selepas 28 September nanti tiada lagi ruang untuk ku bersiar di taman syurga yang penuh barakah disamping mengutip mutiara ilmu yang jatuh dari mulut para masyayikh di bumi syam ini. Tiada lagi. Tiada lagi. Syekh Said Ramadhan Al Bouty, Dr. Wahbah Azzuhaily, Syekh Husamuddin Farfur, Syekh Ratib Nabulsi, Syaikh Naim Iraqsusi, Syekh Rushsdi Al Qalam, Syekh Sariah Arrifaie, Syekh Usamah Arrifaie, Syekh Abdul Fatah Bazam dan ramai lagi para masyayikh disini, semua nya akan menjadi ingatanku yang kekal abadi dan kenangan manis sepanjang aku berada di Syria ini selama sembilan tahun lamanya. Segala curahann ilmu, pesanan dan tunjuk ajar yang dibekalkan kalian terhadap diri ku ini akan aku gunakan bagi menambah amalan ku dan aku gunakan bagi menyambung rantaian perjuangan para nabi dan rasul Allah dalam menegakkan agama suci dinul Islam dia atas muka bumi ini. Hanya doa restu dan keizinan kalian lah yang akan menguatkan semangat ku untuk meneruskan segala amal bakti ini.
Ya Allah kuatkan lah hati ku, tetapkanlah iman ku terhadap Mu.
Selepas 28 September nanti kehidupan ku pasti akan berubah, suasana persekitaran, udara, pergaulan, aktiviti social semua nya akan menjadikan diri aku perak dan kekok untuk mengharunginya buat pertama kali. Pasti keadaan di Malaysia telah banyak berubah dengan penduduknya yang semakin bertambah yang akan menatijahkan karenah manusia yang pelbagai.
Kaum keluarga ku juga pasti telah mengalami hukum alam, ada yang baru dilahirkan dan pasti ramai juga yang telah pergi menemui Rabbul Izzati. Ada yang dah besar panjang dan ada juga yang baru mula bertatih mengharungi alam yang penuh dengan segala macam seribu satu masaalah dan karenah.
Apa yang pasti bumi Malaysia tetap menjadi pujaan hatiku dan tempat tumpah nya darahku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan